Sejarah Masjid

Masjid Mukim Penakah yang terletak di Jajahan Machang, Kelantan, mempunyai sejarah yang panjang dan penuh nilai warisan.

 

Surau Penakah

Penubuhannya bermula sekitar awal tahun 1930-an sebagai sebuah surau kecil yang dikenali sebagai Surau Penakah. Tapak asal surau ini telah diwakafkan oleh Allahyarham Hj. Chik Tengah Hj. Mamood, seorang tokoh yang disegani dan juga ayah kepada Tuan Guru Allahyarham Hj. Yusoff, seorang ulama masyhur pada zaman tersebut yang meninggal dunia pada tahun 1979.

 

Binaan awal

Surau awal ini dibina dengan cara yang sangat sederhana, menggunakan batang tembesu bulat sebagai tiang dan beratapkan daun sagu. Berdekatan dengan surau ini terdapat tiga buah pondok kecil yang menjadi tempat tinggal warga emas. Salah satu pondok itu dihuni oleh seorang individu yang digelar sebagai Tok Imam, walaupun beliau bukan berasal dari kampung berkenaan. Di samping itu, kira-kira tiga meter dari surau, wujud sebuah pondok pengajian agama bernama Pondok Al-Huda yang menempatkan kira-kira 100 orang pelajar, menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat kecil aktiviti keilmuan dan pengajian Islam.

 

Lokasi baru

Pada tahun 1950, satu pakatan telah dicapai dalam kalangan tokoh masyarakat seperti Hj. Wan Yusof, Hj. Wan Daud, Hj. Muhammad, Hj. Chik Tengah, Hj. Musa, Hj. Harun, dan beberapa penduduk kampung yang lain. Mereka bersetuju untuk memindahkan lokasi surau ke tapak baru di Kampung Kijal, tempat masjid ini terletak sekarang. Tapak baharu ini telah diwakafkan oleh Allahyarham Hj. Awang Bin Jusoh, seorang lagi tokoh dermawan yang amat dihormati.

 

Struktur masjid

Bangunan surau yang baru ketika itu merupakan sebuah rumah kayu merbau yang disumbangkan oleh seorang Hamba Allah, dan didirikan dengan dinding zink. Struktur ini kekal sehingga tahun 1960-an, sebelum ia dirobohkan dan digantikan dengan binaan batu bata. Kemudian pada tahun 1970, bangunan batu bata tersebut turut dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baharu yang lebih kukuh dan kekal digunakan sehingga hari ini.

 

Pengiktirafan sebagai Masjid Mukim

Pada peringkat awal, surau ini belum diberi kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat. Oleh itu, para penduduk kampung ketika itu terpaksa berulang alik ke kampung berdekatan seperti Limau Hantu dan Pemanok untuk menunaikan solat Jumaat.

Sekitar tahun 1960, permohonan rasmi telah  dikemukan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk dijadikan sebagai sebuah masjid jamek agar boleh didirikan solat jumaat. Setelah mendapat kelulusan, wujudlah Masjid Mukim Penakah secara rasmi.

 

Senarai Imam Tua Masjid

  1. Hj. Muhammad Bin Hj. Ali – Imam pertama yang mengetuai ibadah di masjid ini.
  2. Hj. Abdul Halim Bin Yacob – Imam kedua yang menyambung kepimpinan rohani masjid.
  3. Wan Fathi Bin Wan Muhammad – Imam ketiga yang terus memartabatkan pengurusan dan pengimarahan masjid.
  4. Arman Bin Abdullah – Imam keempat dan imam semasa yang meneruskan tradisi kepimpinan masjid hingga kini.

 

Senarai Bilal Masjid

  1. Muhammad Bin Hj. Senik – Bilal pertama yang melaungkan azan di masjid ini.
  2. Hj. Wan Fauzi Bin Wan Daud – Bilal kedua dan masih berkhidmat hingga ke hari ini.

 

Kesimpulan

Masjid Mukim Penakah bukan sahaja menjadi pusat ibadah kepada masyarakat setempat, malah menjadi lambang perpaduan, warisan ilmu, dan semangat gotong-royong masyarakat Islam di kampung ini. Dari pondok kayu berdinding daun sagu kepada bangunan batu moden hari ini, masjid ini menjadi bukti keteguhan semangat masyarakat dalam memperjuangkan syiar Islam.